Soalan Lazim Novel Coronavirus (COVID-19)


Apakah tanda-tanda seseorang yang telah dijangkiti? Pesakit akan mengalami simptom seperti berikut:
  • Sakit tekak
  • Batuk
  • Selsema
  • Demam
  • Sesak safas
  • Sakit badan
Apa yang perlu saya lakukan jika saya mempunyai gejala jangkitan ini?
 
Anda perlulah untuk mendapatkan khidmat perubatan dan melaporkan diri ke klinik ataupun hospital terdekat. Anda juga ditegah daripada pergi ke tempat kerja ataupun sekolah bagi mengelakkan anda menjangkiti orang lain.

Adakah virus ini boleh meragut nyawa?
 
Ya, virus ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan seperti kegagalan sistem pernafasan, kegagalan buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kematian.

Bolehkah virus ini tersebar dari manusia ke manusia?
 
Virus ini boleh tersebar dari manusia ke manusia melalui cara berikut:
  • Bersin ataupun batuk.
  • Rembesan cecair daripada badan seperti hingus.
  • Sentuhan seperti bersalaman.
  • Sentuhan terhadap barangan seperti tombol pintu yang telah dicemari virus.
  • Terkena najis yang telah dijangkiti virus ini.

Apakah komplikasi yang boleh berlaku kepada seseorang yang dijangkiti oleh COVID-19?
 
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kegagalan buah pinggang, jangkitan paru-paru, kegagalan sistem pernafasan dan juga kematian.

Siapakah yang berisiko untuk dijangkiti virus ini?
 
Golongan yang berisiko adalah golongan yang mempunyai daya tahan badan yang rendah seperti pesakit HIV, pesakit cancer, pesakit kronik seperti kencing manis, kanak-kanak, golongan emas, ibu mengandung dan juga seseorang yang berkunjung ke Wuhan,China dalam sebulan dua yang lepas.

Bagaimanakah saya boleh diuji untuk COVID-19?
 
Pengendalian ujian ini bergantung kepada pengamatan dan evaluasi daripada doktor setelah melakukan pemerhatian klinikal, pemeriksaan serta mengetahui sejarah sakit. Jika anda menunjukkan simptom jangkitan dan pernah berkunjung ataupun berada dekat dengan penduduk dari Wuhan, China dalam jangka masa yang panjang, sebaiknya anda mendapatkan ujian ini. Darah anda akan diambil untuk tujuan pengesanan virus.

Bolehkah anak saya pergi ke sekolah?
 
Anak anda masih boleh untuk menghadiri kelas seperti biasa kecuali jika anak anda menunjukkan simptom ataupun rakan sekolahnya telah disahkan dijangkiti virus ini. Anda dinasihati agar mengikut perkembangan terkini sekolah terutamanya berita tengan jangkitan virus ini.

Bagaimana saya dapat menilai tahap kesihatan saya dari rumah sebelum ke hospital jika saya tidak sihat?
 
Anda boleh untuk memeriksa suhu badan menggunakan termometer untuk mengetahui suhu badan. Anda juga perlu peka jika pernah berkunjung ke China dalam jangka masa sebulan dua ini dan juga mengalami simptom jangkitan.

Bolehkah saya mendapat vaksin bagi COVID-19?
 
Setakat ini, belum ada vaksin yang boleh diberikan untuk mencegah virus ini.

Bolehkah binatang peliharaan atau haiwan lain menyebarkan COVID-19?
 
Kes pertama yang dilaporkan adalah jangkitan daripada haiwan kepada manusia namun kini ia boleh merebak sesama manusia. Setakat ini, masih belum ada bukti mengatakan bahawa ia boleh disebarkan daripada binatang peliharaan.

Di mana saya boleh mendapatkan lebih banyak maklumat dan status terkini mengenai COVID-19?
 
Anda boleh berkunjung ke laman sesawang atau portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga laman facebook Kesihatan Awam Malaysia.