Cara mengatasi masalah keguguran rambut

Selain jerawat besar yang bernanah dan berdenyut-denyut di hidung, keguguran rambut paling ditakuti oleh lelaki dan wanita.

Sewaktu kita kecil dahulu, ibu selalu mengingatkan kita supaya jangan biasakan mengambil makanan yang terlalu masin kerana garam berlebihan boleh menyebabkan rambut gugur.

Walaupun tanggapan ini boleh dianggap kuno, sehingga sekarang pun masih ada ibu muda yang menegur atau melarang sama sekali anak-anak kecil mereka mengambil makanan snek atau keropok kentang bersalut garam kerana dikhuatiri akan menyebabkan keguguran rambut.
Sejauh mana kebenarannya belum dapat dipastikan tetapi kebanyakan orang mempercayai kata-kata ini, walaupun pada zaman sekarang, keguguran rambut diketahui boleh berpunca daripada banyak faktor yang tidak pernah kita sangkakan.

Untuk membolehkan kita mengawal atau menguruskan keguguran rambut, terlebih dahulu kita perlu tahu bagaimana rambut tumbuh sebelum kita mengenal pasti punca dan mencari cara untuk merawatnya.

Kira-kira 90 peratus daripada rambut pada kulit kepala kita tumbuh pada setiap masa. Fasa pertumbuhan ini berlaku antara dua dan enam tahun.

Sepuluh peratus daripada rambut berada dalam fasa rehat selama dua hingga tiga bulan. Pada akhir fasa rehat ini, rambut akan gugur.

Apabila rambut gugur, rambut baru tumbuh daripada folikel yang sama untuk menggantikannya dan memulakan semula kitaran pertumbuhan.

Rambut pada kulit kepala tumbuh kira-kira setengah inci sebulan. Apabila usia kita meningkat, kadar pertumbuhan rambut kita menjadi semakin perlahan.

Dalam keadaan biasa, keguguran rambut adalah disebabkan oleh kitaran semula jadi rambut, dan kehilangan 50 hingga 100 helai rambut sehari tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.

Dalam keadaan normal, rambut akan gugur dan lama-kelamaan pertumbuhannya menjadi semakin perlahan.

Jadi, apa sebenarnya yang menyebabkan keguguran rambut secara berlebihan?

Berikut adalah antara faktor-faktornya:
Apakah kaitan keguguran rambut dengan faktor genetik?

Keturunan adalah punca yang paling kerap dikaitkan dengan keguguran rambut.
Ia boleh diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa.

Rambut wanita yang mewarisi gen ini biasanya akan gugur dan menjadi nipis, tetapi tidak botak sama sekali.

Keadaan ini dinamakan Androgenetic alopecia dan ia boleh bermula pada usia belasan, dua puluhan atau tiga puluhan tahun.

Kira-kira 50 peratus daripada anak-anak ibu bapa yang botak, sama ada lelaki atau perempuan, akan mewarisi gen botak.

Bagaimanakah diet menjejaskan rambut kita?

Kualiti rambut kita sedikit sebanyak mencerminkan kesempurnaan diet kita. Diet yang sihat dan seimbang adalah yang terbaik untuk kesihatan tubuh badan dan rambut kita.
Pengambilan lebih banyak makanan berasaskan protein atau makanan tambahan tidak akan merangsangkan pertumbuhan rambut.

Malah, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan terlalu banyak vitamin, khususnya vitamin A dan E, boleh menyumbang kepada keguguran rambut.

Kekurangan zat besi, disebabkan kurang mengambil daging merah atau turun darah berlebihan sewaktu kedatangan haid di kalangan wanita, boleh menyebabkan rambut gugur.

Amalan diet yang keterlaluan dan gangguan seperti anorexia nervosa boleh merosakkan rambut hingga menyebabkan keguguran secara berlebihan.

Apakah kaitan kehamilan dan pengambilan ubat pencegah kehamilan dengan keguguran rambut?

Keguguran sementara boleh berlaku jika seseorang mengandung atau menjalani rawatan perubatan.

Kekurangan estrogen pada akhir kehamilan boleh menyebabkan rambut wanita lebih mudah gugur.

Malah, selepas dua atau tiga bulan berhenti mengambil pil pencegah kehamilan, seseorang wanita boleh mengalami kesan yang sama, kerana pil pencegah kehamilan mengakibatkan perubahan hormon seperti yang berlaku apabila wanita hamil.

Bagaimanakah kosmetik rambut atau dandanan rambut menjejaskan rambut kita?

Mengeriting rambut secara kekal mengganggu struktur rambut.

Gangguan ini terpaksa dilakukan untuk membolehkan rambut dikeriting dengan cantik.

Untuk menukar bentuk rambut, bahan-bahan pengeriting kekal terlebih dahulu memecahkan ikatan disulfida dan memberi struktur kepada batang rambut.

Selepas itu, rambut dibentuk mengikut bentuk baru dan dineutralkan.

Peneutralan adalah nama yang diberikan kepada proses pembentukan ikatan kimia dalam kedudukan barunya.
1. Genetik (Androgenetic alopecia)
2. Faktor-faktor pemakanan
3. Kehamilan
4. Ubat-ubatan seperti mencegah kehamilan dan kemoterapi
5. Silap/kurang penjagaan rambut.

Info seterusnya