Cara mengatasi masalah keguguran rambut

Selain jerawat besar yang bernanah dan berdenyut-denyut di hidung, keguguran rambut paling ditakuti oleh lelaki dan wanita.

Sewaktu kita kecil dahulu, ibu selalu mengingatkan kita supaya jangan biasakan mengambil makanan yang terlalu masin kerana garam berlebihan boleh menyebabkan rambut gugur.

Walaupun tanggapan ini boleh dianggap kuno, sehingga sekarang pun masih ada ibu muda yang menegur atau melarang sama sekali anak-anak kecil mereka mengambil makanan snek atau keropok kentang bersalut garam kerana dikhuatiri akan menyebabkan keguguran rambut.
Sejauh mana kebenarannya belum dapat dipastikan tetapi kebanyakan orang mempercayai kata-kata ini, walaupun pada zaman sekarang, keguguran rambut diketahui boleh berpunca daripada banyak faktor yang tidak pernah kita sangkakan.

Untuk membolehkan kita mengawal atau menguruskan keguguran rambut, terlebih dahulu kita perlu tahu bagaimana rambut tumbuh sebelum kita mengenal pasti punca dan mencari cara untuk merawatnya.

Kira-kira 90 peratus daripada rambut pada kulit kepala kita tumbuh pada setiap masa. Fasa pertumbuhan ini berlaku antara dua dan enam tahun.

Sepuluh peratus daripada rambut berada dalam fasa rehat selama dua hingga tiga bulan. Pada akhir fasa rehat ini, rambut akan gugur.

Apabila rambut gugur, rambut baru tumbuh daripada folikel yang sama untuk menggantikannya dan memulakan semula kitaran pertumbuhan.

Rambut pada kulit kepala tumbuh kira-kira setengah inci sebulan. Apabila usia kita meningkat, kadar pertumbuhan rambut kita menjadi semakin perlahan.

Dalam keadaan biasa, keguguran rambut adalah disebabkan oleh kitaran semula jadi rambut, dan kehilangan 50 hingga 100 helai rambut sehari tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.

Dalam keadaan normal, rambut akan gugur dan lama-kelamaan pertumbuhannya menjadi semakin perlahan.

Jadi, apa sebenarnya yang menyebabkan keguguran rambut secara berlebihan?

Berikut adalah antara faktor-faktornya:
Apakah kaitan keguguran rambut dengan faktor genetik?

Keturunan adalah punca yang paling kerap dikaitkan dengan keguguran rambut.
Ia boleh diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa.

Rambut wanita yang mewarisi gen ini biasanya akan gugur dan menjadi nipis, tetapi tidak botak sama sekali.

Keadaan ini dinamakan Androgenetic alopecia dan ia boleh bermula pada usia belasan, dua puluhan atau tiga puluhan tahun.

Kira-kira 50 peratus daripada anak-anak ibu bapa yang botak, sama ada lelaki atau perempuan, akan mewarisi gen botak.

Bagaimanakah diet menjejaskan rambut kita?

Kualiti rambut kita sedikit sebanyak mencerminkan kesempurnaan diet kita. Diet yang sihat dan seimbang adalah yang terbaik untuk kesihatan tubuh badan dan rambut kita.
Pengambilan lebih banyak makanan berasaskan protein atau makanan tambahan tidak akan merangsangkan pertumbuhan rambut.

Malah, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan terlalu banyak vitamin, khususnya vitamin A dan E, boleh menyumbang kepada keguguran rambut.

Kekurangan zat besi, disebabkan kurang mengambil daging merah atau turun darah berlebihan sewaktu kedatangan haid di kalangan wanita, boleh menyebabkan rambut gugur.

Amalan diet yang keterlaluan dan gangguan seperti anorexia nervosa boleh merosakkan rambut hingga menyebabkan keguguran secara berlebihan.

Apakah kaitan kehamilan dan pengambilan ubat pencegah kehamilan dengan keguguran rambut?

Keguguran sementara boleh berlaku jika seseorang mengandung atau menjalani rawatan perubatan.

Kekurangan estrogen pada akhir kehamilan boleh menyebabkan rambut wanita lebih mudah gugur.

Malah, selepas dua atau tiga bulan berhenti mengambil pil pencegah kehamilan, seseorang wanita boleh mengalami kesan yang sama, kerana pil pencegah kehamilan mengakibatkan perubahan hormon seperti yang berlaku apabila wanita hamil.

Bagaimanakah kosmetik rambut atau dandanan rambut menjejaskan rambut kita?

Mengeriting rambut secara kekal mengganggu struktur rambut.

Gangguan ini terpaksa dilakukan untuk membolehkan rambut dikeriting dengan cantik.

Untuk menukar bentuk rambut, bahan-bahan pengeriting kekal terlebih dahulu memecahkan ikatan disulfida dan memberi struktur kepada batang rambut.

Selepas itu, rambut dibentuk mengikut bentuk baru dan dineutralkan.

Peneutralan adalah nama yang diberikan kepada proses pembentukan ikatan kimia dalam kedudukan barunya.
1. Genetik (Androgenetic alopecia)
2. Faktor-faktor pemakanan
3. Kehamilan
4. Ubat-ubatan seperti mencegah kehamilan dan kemoterapi
5. Silap/kurang penjagaan rambut.

Info seterusnya

Cara mengatasi masalah kebotakan

Makanan seimbang kekal kesihatan rambut

MENGALAMI masalah kebotakan adalah igauan ngeri bagi kebanyakan orang, walaupun di kalangan lelaki. Rambut bukan lagi menjadi mahkota mutlak wanita kerana lelaki juga kini mementingkan gaya dan dandanan rambut.

Mengalami masalah keguguran rambut memang meresahkan.

Keguguran rambut boleh dianggap masalah biasa, terutama jika ia disebabkan faktor keturunan, dengan kadar satu kes bagi setiap tiga lelaki dan satu kes bagi setiap lima wanita.

Keguguran rambut yang boleh menyebabkan masalah kebotakan juga dikenali sebagai alopesia androgenetik. Walaupun ia kerap dipanggil kebotakan lelaki, masalah ini juga boleh berlaku kepada wanita.
Ramai beranggapan terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut. Bagaimanapun, pendapat ini kurang tepat, kata Ketua Trikologi Pusat Rambut Svenson, Teo Kim Teik.

Ada banyak perkara yang boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut seperti tekanan psikologi kronik, tekanan perasaan yang berpanjangan, kecederaan kulit kepala, faktor genetik, jangkitan virus atau bakteria, kehamilan, perubahan hormon dan alahan terutama pada bahan kimia.

Katanya, masalah kebotakan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:


Alopesia areta — Keadaan rambut yang gugur secara bergumpal dan tiba-tiba. Ia disebabkan banyak folikel terlalu cepat memasuki fasa rehat iaitu fasa sebelum rambut gugur.

Walaupun puncanya masih kurang jelas, tetapi kebotakan jenis ini dikategorikan sebagai gangguan autoimun (kecelaruan sistem imun badan yang menyebabkan pelbagai masalah).

Alopesia areta dianggap masalah kebotakan biasa dan berlaku pada kadar satu kes bagi setiap 1,000 orang pada satu-satu masa sepanjang hidup mereka.


Alopesia tarikan — Keguguran rambut disebabkan tekanan berlebihan pada setiap helaian rambut, contohnya tarikan terlalu kuat. Kata Teo, tekanan berlebihan ini akan menyebabkan rambut tertarik keluar dan ia boleh merosakkan folikel rambut.

Jika tekanan berterusan lama kelamaan proses penghasilan rambut perlahan dan akhirnya berhenti.
Pseudopelada (Alopecia berparut) — Jenis kebotakan ini jarang berlaku. Biasanya ia berlaku pada wanita dan kadangkala membabitkan kanak-kanak. Kesan kebotakan akibat keguguran rambut boleh dilihat dengan jelas dan ia dianggap serius.

Bagaimanapun, keguguran rambut jenis ini yang masih tidak diketahui puncanya dengan tepat biasanya berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa lama sehingga beberapa tahun.


Tinea Capitis — Ia juga dipanggil kebotakan berkurap yang disebabkan jangkitan fungus. Fungus ini biasanya ada pada haiwan peliharaan seperti anjing, kucing, lembu atau hamster.

“Sebenarnya kebanyakan haiwan mamalia hidup secara bergandingan dengan fungus, tetapi ia tidak menyebabkan masalah kepada haiwan berkenaan. Gejala masalah biasanya timbul apabila fungus ini berpindah kepada manusia. Jangkitan fungus pada kulit kepala akan menyebabkan keguguran rambut,” katanya.
Antara gejala jangkitan fungus ialah:

a. Keguguran rambut yang menyebabkan tompok botak. Pada tompok ini akan nampak ‘tunggul rambut’. Jangkitan boleh menyebabkan kulit kepala berasa gatal dan tidak selesa.

b. Kurap juga boleh berlaku pada muka atau bahagian badan yang lain.

c. Jika dibiarkan, biasanya lesi besar berukuran antara enam hingga sembilan sentimeter akan muncul. Ia boleh bertukar menjadi ruam besar yang gatal.

d. Pada kes lebih serius, timbul gelembung berisi air pada kulit kepala. Gelembung ini adalah kesan radang kulit kepala dan biasanya sakit.

Pada peringkat ini, seseorang itu boleh mengalami kebotakan serius, terutama apabila kulit kepala turut dijangkiti bakteria Staphylococcus. Bakteria ini seterusnya mengakibatkan nodus limfa pada leher membengkak dan merah.

Kata Teo, banyak sebab boleh menyebabkan rambut dalam fasa telogen (rehat) gugur lebih cepat iaitu jangkitan serius, menghidap penyakit kronik, tekanan psikologi yang teruk, pembedahan besar, masalah kelenjar tiroid, mengamalkan diet mendadak, tidak cukup protein dan pengambilan dadah.

“Perkara paling mudah untuk mengekalkan kesihatan rambut ialah mengamalkan pemakanan seimbang. Komponen penting rambut kita ialah protein. Hampir 90 peratus rambut kita membabitkan komponen protein, khususnya asid amino.

“Justeru, amalan pemakanan seimbang penting untuk mendapatkan rambut sihat. Ini sebabnya individu yang mengamalkan diet mendadak kerap mengalami masalah keguguran.

“Selain itu, kita perlu mendapat garam galian, terutama zat besi, zink, kalsium, magnesium dan kromium harian yang secukupnya. Pada masa sama, rambut memerlukan vitamin A, B kompleks, C dan D untuk kekal sihat. Namun terlalu banyak vitamin A dan D boleh keguguran rambut,” katanya.

Maklumat selanjutnya >>>

Influenza A (H1N1) masih aktif


Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa penularan jangkitan virus Influenza A(H1N1) MASIH aktif di dalam komuniti di mana laporan kejadian Kluster masih terus diterima. Penularan jangkitan ini cukup mudah berlaku di tempat tumpuan orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak. Masyarakat digesa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan H1N1 yang terbukti berkesan sebelum ini seperti berikut:-

1.Mereka yang mempunyai gejala influenza like-illness (ILI) seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan supaya TIDAK pergi ke tempat tumpuan ramai. Jika mereka yang bersimptom ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta untuk memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain.

2.Basuh tangan dengan kerap dengan menggunakan air atau sanitiser, terutamanya selepas batuk atau bersin.

Di peringkat antarabangsa, penularan jangkitan influenza A(H1N1) masih lagi aktif khususnya di Asia Tenggara, Afrika Barat dan Afrika Timur serta negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur. Sehingga 21 Mac 2010, jumlah kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) di seluruh dunia adalah melebihi 16,931 kes, iaitu meningkat sebanyak 118 kes(0.7%) berbanding dengan minggu sebelumnya